Sejarah Penubuhan kumpulan SLAM Yang Anda Tidak Tahu




Slam adalah salah sebuah kumpulan lama yang telah meniti populariti dalam dunia muzik tanah air dan boleh diklasifikasikan dalam kategori `growth`, di mana mereka pernah menuju ke puncak kejayaan sebagai penyanyi berkumpulan. Nama Zamani, Shah, Man, Eddie, Lili dan Ajak tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat seni suara tanahair, khususnya selepas kejayaan album kedua mereka yang berjudul `Kesan Terbukti`. Album ini telah memuatkan lagu-lagu berhantu dengan 4 lagu berada di kedudukan teratas carta Muzik Malaysia dan Indonesia seperti Tak Mungkin Berpaling dan Kembali Terjalin. Kemudian mereka terus mengorak langkah dengan lagu-lagu hits yang lain seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Rindiani dan lagu malar segar Gerimis Mengundang.

Kumpulan Slam diasaskan oleh Shah Nizam bin Abdul Halim, bekas anggota kumpulan Exists. Diatas komitmennya sendiri, Slam telah ditubuhkan pada awal tahun 1991 di Johor Bahru. Shah yang bertindak sebagai ketua kumpulan memberitahu kegagalan beliau bersama Exist pada waktu itu telah menjadi inspirasi ke arah terbentuknya Slam. Dia mengajak teman lamanya iaitu Razak Bajuri, Osman Khalid dan Lili Masrani berjuang bersama atas dasar semangat setiakawan yang utuh. Ketika ini mereka menggunakan nama Fix sebagai nama kumpulan. Mereka kemudiannya menjalankan ujibakat bagi mencari penyanyi biarpun ketika itu Fix terlebih dahulu mendapat empat orang penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Bagaimanapun jodoh Fix dengan penyanyi-penyanyi tersebut tidak panjang kerana mereka masih mencari keserasian. Mereka mempunyai perancangan masa depan yang menarik dalam industri muzik maka mereka mahukan penyanyi visi yang baik bagi mendukung wawasan mereka.

Sewaktu rakaman album pertama mereka pada 1992 telah berjalan Shah terpaksa mengetepikan vokalisnya gara-gara suara tidak mencapai tahap yang dikehendaki sewaktu mendendangkan lagi ‘Nina` ciptaan Rahim Othman. Mereka terpaksa menangguhkan pembikinan album pertama dengan membuka peluang kepada vokalis-vokalis baru yang ingin mencuba nasib dengan Slam. Ujibakat telah diuruskan bersama oleh pihak pengurusan Johan Sound Production yang kini dikenali sebagai Johan Music. Mereka akhirnya ditemukan dengan pemuda asal Keramat, Kuala Lumpur Zamani Ibrahim yang pada ketika itu berusia 22 tahun. Keunikan suaranya jelas memukau pihak pengurusan dan anggota kumpulan yang lain. Berbekalkan bakat semulajadi dan seraut wajah kekanak-kanakan, Zamani dijangka boleh membuat peminat tidak puas memandangnya.

Zamani juga merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah meninggi diri walaupun dia kini tergolong dalam kelompok vokalis terbaik tanahair. Malahan penyanyi itu mempunyai sifat malu yang cukup tebal hingga terpaksa belajar beraksi di pentas dengan ketua kumpulan mereka, Shah. Menurutnya, dia banyak belajar tentang bagaimana cara menyanyi dengan penghayatan yang baik dan tinggi. Dia juga cukup menghormati Shah kerana baginya Shah mempunyai kebolehan luar biasa yang jarang dipunyai oleh sesetengah pemuzik lain. Hal ini berlaku mungkin kerana pengalaman Shah yang cukup luas dalam muzik malah berprinsip tinggi. Kriteria itu juga yang menyebabkan seluruh anggota Slam bersetuju memilihnya sebagai ketua kumpulan walaupun jika dihitung dari sudut umur, Shah adalah kumpulan yang paling muda.




Zamani berjaya menyanyikan semula lagu-lagu yang telah 70% dirakamkan oleh vokalis asal. Setelah berjaya menamatkan proses rakaman yang memakan masa hampir 60 jam, mereka sekali lagi dikejutkan oleh berita buruk dari meja pengurusan apabila nama `Fix` tidak boleh digunakan kerana ianya boleh menimbulkan kekhilafan dalam sebutan. Pun begitu, profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan Johan Sound Production Berjaya menenangkan setiap anggota kumpulan yang tergantung namanya ini. Mereka sekali lagi terpaksa membuka talian kepada penggemar muzik tanah air yang sudi memberi nama kepada kumpulan anak muda yang baru dilahirkan ini. Dari 3000 penyertaan, Johan Sound Production dan anak-anak muda yang cukup tegar pegangan muzik ini telah memilih `Slam` sebagai nama baru menggantikan nama asal ‘Fix`. Biarpun begitu mereka sewajarnya boleh berbangga kerana tidak perlu menggunakan pemuzik undangan. Sewaktu di studio, setiap anggota Slam tahu dan faham tugas masing-masing. Selagi tidak berpuas hati dengan muzik ataupun vocal, mereka akan terus bermain tanpa henti. Kadang kala masa dalam studio lebih panjang dari waktu-waktu lain.

Namun impian tidak selalunya menjadi kenyataan, Slam terpaksa akur dengan kehendak peminat muzik tempatan. Konsep ‘Pop Kreatif’ yang diperjuangkan secara kumpulan merupakan sesuatu yang baru di Negara ini. Walaupun album pertama mereka cukup baik dan mempunyai nilai artistik serta nilai jual yang tinggi, namun faktor populariti juga perlu diambilkira. Album pertama mereka sekadar mencecah jualan 40.000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan muzik sedia ada seperti Spring, Mega, Fotograf dan pesaing terapatnya Ukays. Lagu-lagu seperti Malam Dan Semalam, Buat Seorang Kekasih dan Nina masih belum cukup kuat untuk mengangkat martabat muzik Slam. Namun, Slam tidak dapat melatah lantas mereka membuat ‘post moterm’ ke atas Slam. Mereka akhirnya bersetuju untuk menambah anggota dengan mengundang Eddie Ahmad yang pernah bermain muzik keyboard bersama kumpulan Ekamatra sewaktu kumpulan itu berada dipuncak kegemilangannya menerusi Pusara Di Lebuhraya. Slam bertambah mantap dengan penyertaan Eddie. Dengan pengalaman yang luas dimiliki oleh pemuzik yang berkaca mata ini, beliau telah memantapkan lagi susunan muzik Slam disamping idea-idea beliau yang tidak pernah jemu untuk diterima oleh anggota-anggota Slam yang lain.

Dalam setiap pembikinan album, Slam tidak terlalu cerewet memilih komposer jemputan apatah lagi mereka sendiri mampu menggubah lagu. Nama-nama seperti Johan Aziz (yang juga merangkap sebagai pengurus Slam), Rahim Othman dan Saari Amri tidak pernah lekang dari bibir peminat setia kumpulan ini. Bagi peminat-peminat Slam, nama-nama besar ini telah berjaya mencorak irama muzik Slam dari pelbagai dimensi kerana mereka mempunyai cara, citarasa, identiti dan susunan muzik tersendiri.

0 Response to "Sejarah Penubuhan kumpulan SLAM Yang Anda Tidak Tahu"

Catat Ulasan